TRAVELOG : UNTUK TERAKHIR KALI, SEDUL.
TRAVELOG : UNTUK TERAKHIR KALI,
SEDUL.
Semua bergegas mengangkat
barang-barang sumbangan dan sukaneka ke dalam kereta. Sekitar pukul 8.30 pagi
kami bergerak ke lokasi pertama iaitu Kg. Sedul untuk majlis perasmian
penutupan. Perasaan bercampur baur, takut, terharu, sedih juga gembira.
Ketibaan kami seperti biasa
disambut oleh kanak-kanak juga ibu bapa. Selesai menyusun segalanya, kami terus
mulakan majlis dengan aktiviti sukaneka. Sudah lama aku tidak mengendalikan
program sukaneka. Bermula dengan aktiviti tiup belon sampai meletup. Aku terus
berdiri jauh daripada mereka kerana aku fobia dengan belon. Jantungku bagai
akan terhenti bila terdengar bunyi belon meletup. Kemudian, acara berkumpulan
iaitu gabungan permainan membawa guli dengan sudu dan cari gula-gula dalam
tepung. Juga sekali lagi tiup belon sampai meletup untuk peserta terakhir bagi
setiap kumpulan.
Pada masa yang sama, acara untuk
ibu bapa turut berlangsung iaitu aktiviti “musang berjanggut”. Permainan ini
diadaptasi daripada filem arahan seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee,
iaitu “Musang Berjanggut”. Di mana babak Tun Nila Utama (Tan Sri P Ramlee)
menempuh perjalanan yang jauh dan berusaha mencari wanita yang sabar dan tekun
mengasingkan bahan memasak dalam uncang yang dibawanya. Bertemulah dengan
seorang gadis yang bijak dan rajin iaitu Puspa Wangi (Saadiah) yang sanggup
mengasingkan bahan masakan tersebut dan dijadikan hidangan. Tapi, aktiviti ini
dibuat bukan untuk mencari jodoh ya ...
Selesai permainan ‘outdoor’,
rehat sebentar sambal kami melakukan demonstrasi membuat ais krim tanpa perlu
meletakkannya di dalam peti sejuk untuk membekukannya. Untuk menguji tahap kefahaman
dan dapatan dari khidmat pendidikan, kami mengadakan tiga jenis pertandingan
iaitu azan dan iqamat, bacaan surah al-fatihah serta surah 3 qul dan praktikal
rukun berwudhuk. Rasa sangat terharu apabila mereka memperolehi sesuatu
daripada apa yang telah disampaikan. Sungguhpun, masih ada yang belum memahami
sepenuhnya.
Majlis selesai, kami berkemas
setelah jamuan ringan bersama penduduk kampung dan simbolik agihan sumbangan.
Lambaian terakhir dari mereka, cuma pesanan dan doa yang mampu ku berikan buat
mereka. Aku melangkah keluar ditemani oleh salah seorang pelajarku, Fahmi si budak nakal. Aku sungguh kagum dengan
budak ini yang memiliki tahap fokus yang tinggi ketika belajar walaupun dia
nakal. Harapanku agar dia dan sahabatnya Syafiq akan menjadi pelapis generasi
akan dating yang bakal mengimarahkan surau Kg. Sedul. Dan ini untuk yang
terakhir kali aku menabur bakti di Kg. Sedul bagi misi Turda Sabah 6.0.
Disediakan oleh :
MIMY MINARTI BINTI PANGERAN
16 Februari 2019
Pusat Bimbingan Islam (IOA)
Ranau, Sabah.
Comments
Post a Comment