TRAVELOG : REZEKI

TRAVELOG : REZEKI 


Yakinlah rezeki itu jaminan Allah. Jangan sangka rezeki itu hanya terletak pada kewangan sahaja dan ramai yang tersalah tafsir akan konsep rezeki. Kini, majoriti individu menganggap rezeki diukur berdasarkan wang ringgit juga harta. Dan, individu yang kaya dengan harta benda dianggap paling banyak dilimpahi rezeki. Walhal sebenarnya, rezeki merangkumi banyak hal dan setiap manusia di muka bumi ini memiliki rezeki masing-masing yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Akan tetapi, bukanlah bermaksud seseorang itu tidak perlu berusaha untuk mendapatkan rezeki yang lebih.

    "Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya."
(Surah At-Talaq Ayat 2-3)

Rezeki juga boleh merangkumi kesihatan, jodoh, zuriat bahkan diberikan dugaan juga tergolong dalam konsep rezeki. Kerana terkadang di sebalik dugaan yang diberikan, Allah selitkan dan gantikan dengan yang lebih baik. Rezeki di saat ujian menimpa namun, ada saja insan yang bermurah hati untuk membantu saat berada dalam kesusahan. Bukan itu sahaja, malah dalam rezeki yang kita dapat boleh jadi terselit rezeki orang lain.

Pendidikan yang cukup juga merupakan satu rezeki. Tidak semua insan bertuah untuk mendapatkan pendidikan yang sepatutnya. Diri ini terasa amat bersyukur kerana diberikan rezeki untuk memperoleh pendidikan yang cukup sama ada aspek fardhu ain mahupun fardhu kifayah. Bila melihat keadaan anak-anak pedalaman yang kekurangan ilmu, hati ini terasa sebak. Alangkah bertuahnya aku tergolong dalam insan yang bisa belajar dalam situasi yang sepatutnya seorang pelajar merasa.

Sebak bila melihat anak-anak di luar sana yang tidak menghargai hak yang diberikan. Ponteng kelas, malas ke sekolah, sering melakukan onar menjadi perkara biasa bagi mereka. Sedangkan ramai lagi insan yang menagih ilmu, ingin ke sekolah seperti mereka. Menjadi impian mereka untuk belajar, mengejar cita-cita yang diidamkan. Tetapi apakan daya, rezeki mereka hanya disitu.


Disediakan oleh :
MIMY MINARTI BINTI PANGERAN
13 Februari 2019
Pusat Bimbingan Islam (IOA)
Ranau, Sabah.

Comments

Popular posts from this blog

Puisi: Ilmu Penyuluh Kehidupan..

PERMULAAN LANGKAH