Travelog : Last Sudah Bah Ni



              Mata terbuka untuk melihat dunia, penat semalam yang kurasakan belum hilang, jika difikirkan hati, ingin rasanyaku melambatkan gerakanku waktu itu. Nafsu mataku juga belum puas tertutup yang hanya melelapkan mata untuk beberapa jam sahaja. Tetapi mengenangkan tugas yang tidak ku selesaikan lagi ku gagahi juga jasad ku untuk terus bangkit seperti selalunya. Pagi itu seperti biasa selepas solat subuh, kami akan baca al-mathurat dan tazkirah 30 saat serta bersiap kendiri untuk menjalankan tugas hari ini.
              Di hari yang cerah sepertinya tidak banyak tempat yang boleh dikunjungi hari ini, walapun hari ini last sudah bah ni kami berada di bumi bawah bayu ini, tugas tetap tugas yang harus diselesaikan sebelum kami berangkat pulang semula ke bumi semenanjung. Mujur tugasan yang diberikan tidaklah begitu banyak mahu disiapkan dan aku mula merancang untuk berlegar-legar dikawasan perpustakaan Universiti Malaysia Sabah sementara menunggu rakan seperjuangan yang lain berusaha bertungkus lumus menyiapkan tugasan mereka masing-masing. 2 minggu berada di bumi yang indah ini terasa seperti baru semalam sahaja kami tiba di sini, lagi beberapa detik jam berputar kami akan mengikut haluan masing-masing. Ada yang akan jumpa semula dan ada yang sukar untuk jumpa bila buka cuti semester nanti kerana kekangan yang berlainan kolej, berat dihati untuk berpisah namun harus direlakan kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab yang lainnya.
                   Petang itu kami telah ke 1 Borneo untuk solat maghrib dan terus ke pasar filipina sebagai lokasi terakhir kami sebelum pulang ke semenanjung esok hari. Kami telah menghabiskan masa di pasar tersebut sepanjang malam untuk membeli buah tangan untuk diberikan kepada kenalan-kenalan yang terdekat bila balik nanti. Perjalanan yang menyoronokkan, aku telah menikmati saat-saat terakhir bersama mereka dengan sebaiknya, saat lagi menunggu bas yang tidak kunjung tiba, bernyanyi di dalam bas yang tidak bergerak seperti dunia hanya kami sahaja yang ada, saat kek cheese ku yang hanya baru sekerat makan sudah jatuh semuanya, saat lagi berhimpitan di dalam bas kerana tidak mahu menaiki kereta angkut sehingga seakan ikan sardin di dalam tin, suara gelak tawa mereka dan banyak lagi.
             Malam itu kami telah menjamah makanan seafood di Sabah kerana tidak mahu ingin melepaskan peluang untuk merasai hasil laut di sana, kami juga telah diperkenalkan dengan makanan yang menjadi budaya mereka di sana iaitu latok, erti kata lainnya ialah anggur laut, selain itu kami diperkenalkan lagi makanan yang dijadikan sayur iaitu agar-agar, agar-agar yang dimaksudkan disini adalah bukanlah agar-agar yang biasa dilihat itu, aku sendiri tidak pasti dengan pembuatannya. Agak jakun jugalah bila pertama kali dilihat namun ia telah biasa pada makanan tersebut.
                 Indah sungguh malam terakhir kami bersama, aku yakin malam itu pasti sentiasa diingati di dalam benak fikiran setelah misi selesai nanti. Akan ku lakar kenangan terindah bersama mereka di dalam mindaku, momento-momento akhir yang sentiasa menjadi mainan kelak. Hampir seluruh pasar Filipina kami ronda dan akhirnya kami pun pulang dengan kepenatan dan kepuasan.






Nazifah Binti Nazri
21 Februari 2019
6:07p.m
Bukit Kapar, Klang
     

Comments

Popular posts from this blog

Puisi: Ilmu Penyuluh Kehidupan..

TRAVELOG : REZEKI

PERMULAAN LANGKAH