TRAVELOG : BAIT-BAIT ZIKIR.
TRAVELOG : BAIT-BAIT ZIKIR.
Hari yang kurang dengan aktiviti.
Hari ini kami hanya merancang untuk membuat lawatan ke tempat-tempat
bersejarah. Sebelum itu kami balik ke Rumah Putera Harapan(RPH) terlebih dahulu
untuk menghantar barang-barang. Pergerakan dibantu oleh Ustaz Sabri dan Abang
Syafiq. Memandangkan hari ini aktiviti hanya lawatan, aku ‘target’ untuk capai
zikir sebanyak 10 000. Ia mungkin kedengaran mustahil tetapi aku tetap buat dan
berusaha untuk mencapainya.
Zikir, satu amalan yang
disyariatkan dalam Islam. Ia adalah satu amalan yang disuruh supaya
diperbanyakkan tanpa ada halangan dan keterikatan dengan syarat-syarat
tertentu. Dari segi Bahasa bermaksud sebut dan ingat. Ia juga bermaksud
mengulangi sebutan nama Allah dengan hati dan lisan, atau mengulangi sebutan
dan ingatan terhadap sifat, hukum, perbuatan atau apa saja yang boleh mendekatkan
diri kepada Allah.
Ya Rahman, zikir yang ku pilih
untuk dilafazkan sepanjang misi ini berlangsung. Fokus ku hari ini tertumpu
kepada zikir, aku perlu capai ‘target’ 10 000. Hanya bait-bait zikir yang
keluar dari mulut sepanjang perjalanan yang juga banyak tidurnya.
Antara fadhillat berzikir ialah
dapat menggilap dan menyucikan hati daripada kekotoran sifat tercela. Zikir
juga penyedar hati yang lalai dan pendorong kepada taubat. Seterusnya,
penghapus dorongan hawa nafsu yang menguasai diri sehingga seseorang terdorong
melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan suruhan agama. Zikir juga
menyumbang kepada pengukuhan keamanan seseorang.
Apa yang penting, zikir memiliki
pelbagai fadhilat. Walaupun ianya mudah untuk dilafazkan, tapi kita tidak boleh
ambil remeh akan impaknya. Alhamdulillah, aku berjaya melepasi ‘target’ zikir
hari ini. Dan ini antara yang aku paling terkesan sepanjang misi kerana 23
tahun aku bernafas di dunia ini, ini
kali pertama aku melafazkan bait-bait zikir sehingga boleh mencecah 10 000 untuk
sehari.
Disediakan oleh :
MIMY MINARTI BINTI PANGERAN
17 Februari 2019
Rumah Putera Harapan (RPH)
Ranau, Sabah.
Comments
Post a Comment