TRAVELOG : AMBANG HARI TERAKHIR.
TRAVELOG : AMBANG HARI TERAKHIR
Pagi jumaat yang hening,
masing-masing dengan muka mengantuk melakukan riadah selepas solat subuh,
bacaan mathurat, tadabbur Al-quran dan Kultis (Kuliah tiga puluh saat).
Kemudian, terus bersiap untuk keluar ke Pekan Ranau bagi membeli barang
sumbangan dan sukaneka. Aku, Masitah, Farhana, Hassan dan Yasmin tinggal untuk
siapkan laporan.
Hari ini kami agak lambat ke
kampong untuk mengajar disebabkan proses perbelanjaan yang lewat selesai.
Pengangkutan yang digunakan untuk ke pekan itulah juga yang digunakan untuk
pergi mengajar. Bahkan untuk berbelanja pun perlu buat dua kali penghantaran
kerana kuantiti barang yang banyak.
Lebih kurang pukul 4 petang baru
kami bertolak ke Kg. Sedul untuk mengajar buat hari terakhir. Seperti biasa
perjalanan yang berliku-liku ditambah dengan jalan yang belum diturap
membuatkan aku berasa pening. Setibanya kami di Kg. Sedul, aku hairan melihat
keadaan surau yang kosong sedangkan banyak selipar bersusun di luar. Aku terus
sahaja masuk ke dalam dan tiba-tiba ada suara yang mengejutkan dari belakang
pintu. Rupa-rupanya mereka semua berkomplot untuk bersembunyi.
Sebelum kelas
bermula, Hassan belanja kanak-kanak makan aiskrim sempena hari terakhir
bersama.
Kelas terakhir dimulakan dengan
modul jawi dan diteruskan dengan ulang kaji. Riadah petang diisi dengan
aktiviti membaling belon yang berisi air. Keriangan jelas terpancar di wajah
mereka. Sudah lama aku meninggalkan zaman seperti mereka. Perasaan rindu untuk
bermain bersama rakan zaman kanak-kanak kembali merasuk. Bermain bersama mereka
membuat aku lupa sebentar liku-liku kehidupan yang aku lalui kini.
Setelah solat maghrib, kami
kembali menganalisis seorang demi seorang mengenai prestasi mereka.
Alhamdulillah, ada yang boleh ingat dan faham apa yang telah diajarkan. Tiba
giliran pelajar yang terakhir untuk aku analisis, tiba-tibs bekalan elektrik
terputus. Dan kami hanya bergantung kepada lilin dan ‘flashlight’ telefon
bimbit. Peristiwa itu membuat hatiku menjadi sebak kerana berada di ambang hari
terakhir untuk mengajar. Namun, aku hanya mampu tersenyum gembira melihat
mereka.
Disediakan oleh :
MIMY MINARTI BINTI PANGERAN
15 Februari 2019
Pusat Bimbingan Islam (IOA)
Ranau, Sabah.
Comments
Post a Comment