TRAVELOG : ALHAMDULILLAH, PERJUANGAN PERTAMA SELESAI.
TRAVELOG : ALHAMDULILLAH,
PERJUANGAN PERTAMA SELESAI.
Yang lain tengah sibuk mengemas,
aku lepas mandi terus tertidur. Jam menunjukkan pukul 3.30 pagi dan aku
dikejutkan oleh mamaku kerna kami perlu bergerak ke airport pukul 4.00 pagi. Walaupun tiket penerbangan mereka pukul
11.45 pagi, mereka harus keluar dari rumah sebelum masuk waktu subuh kerana itu
syarat musafir. Mereka akan sampai di KLIA selepas solat jumaat sebab itulah
kena keluar dari rumah awal-awal.
Sepanjang perjalanan ke airport, aku cuma tidur. Sampai sahaja
aku ikut mereka ke dalam untuk membantu menguruskan baggage. Aku hanya dapat teman mereka sekejap kerana van yang
digunakan perlu dihantar segera. Sebelum pulang, aku menyerahkan vest kepada
Masitah selaku ketua misi Turda Sabah 6.0. Aku hanya mampu mendoakan agar
mereka selamat sampai ke pangkuan keluarga masing-masing.
Jutaan terima kasih diucapkan
kepada Encik Izwan Suhadak bin Ishak selaku Penasihat DE Volunteer. Ketegasan
yang dimiliki mengajar kami bagaimana untuk menjadi seorang sukarelawan. Gerak
kerja beliau juga mendidik kami untuk melakukan kerja dengan lebih sistematik.
Sekalung penghargaan juga ditujukan kepada pihak ABIM Ranau, Ustaz Sabri, Abang
Syafiq dan Khairul. Insan yang banyak membantu sepanjang perjalanan program
Turda 6.0 di Ranau. Terima kasih juga buat Kacio
Holidays atas perkhidmatan pengangkutan yang disediakan.
Buat sahabat seperjuanganku,
tahniah diucapkan kerana kita berjaya sampai ke hari terakhir misi.
Alhamdulillah perjalanan program kita dipermudahkan. Suka dan duka kita hadapi
bersama dari sebelum, semasa dan selepas misi. Banyak yang kita pelajari
sepanjang program ini berlangsung kerana ia bukan sahaja menguji fizikal kita
malah turut menguji mental kita. Kesungguhan dan ketabahan yang dimiliki
melatih kita untuk menjadi pimpinan masa akan datang. Gurauan dan usikan
membuatkan ikatan ukhuwah kita semakin kukuh bagaikan sebuah keluarga. Lapar
bersama, kenyang bersama, penat bersama, mengantuk bersama, gelak tawa bersama,
semua itu menjadi memori dan hanya kenangan untuk kita tatapi.
Harapanku agar perjuangan kita
tidak terhenti di sini. Masih jauh lagi perjalanan kita dan banyak lagi yang
perlu ditempuhi. Semoga ukhuwah kita juga tetap utuh sepertimana sewaktu kita
dalam misi. Gagahkan diri, persiapkan mental dan fizikal untuk misi yang
seterusnya. Kita sambung perjuangan untuk misi Turda Sabah 7.0. Alhamdulillah,
perjuangan pertama selesai.
Disediakan oleh :
MIMY MINARTI BINTI PANGERAN
22 Februari 2019
22 Februari 2019
Rumahku Syurgaku Sepanggar,
Kota Kinabalu, Sabah.
Comments
Post a Comment