TRAVELOG #9 : Kemeriahan Majlis 2 Buah Kampung

Kemeriahan majlis penutupan di padang SK Kananapon, Kg.Muruk.

16Februari2019, Sabtu. Hari yang dinantikan telah pun tiba. Kami berperlu bergerak awal hari ini, khabarnya jam 8 pagi. Tetapi aku agak kesal dengan permulaan pagiku ini. Entah kenapa bangun sahaja dari tidur, tiba-tiba perutku sakit yang teramat sehingga menyusahkan sahabatku yang lain. "Perutttt, kenapa kau mesti buat hal pagi niii jugakk aaarghhh" Bentakku sendiri. Mungkin aku tersalah makan pada hari semalam. Agak kesal juga tapi nak buat bagaimana, perkara nak berlaku. Bila diingatkan semula, alahai tergelak aku dibuatnya. Ustaz Ibrahim memberi cadangan agar aku minum rebusan daun jambu untuk mengurangkan kesakitan. Terima kasih yang tak terhingga buat sahabat-sahabatku yang prihatin. Sungguh aku sayang pada sahabat-sahabatku lillahi taala. 

Jadi kesemua team sukarelawan akan bersama-sama menjayakan majlis penutupan ini di kedua-dua buah kampung. Pergerakan kami pada waktu pagi, kami semua akan bergerak ke Kg.Sedul terlebih dahulu dan pada sebelah petang di Kg.Muruk pula. Kami ke kampung-kampung dengan menaiki dua buah kenderaan. Ustaz Sabri selaku ydp Abim Ranau juga turut bersama memeriahkan majlis. Sampai sahaja di Kg.Sedul, kami disambut dengan meriah sekali oleh penduduk kampung. Anak-anak muridku juga menyambut kehadiran kami dengan gembira sekali. Permainan dan acara sukaneka dimulakan untuk ibu bapa, orang dewasa dan kanak-kanak. Untuk acara sukaneka kami menyediakan permainan antaranya cari gula dalam tepung, tiup belon sampai pecah, bawa gelang getah menggunakan straw dan macam-macam lagi. Sementara itu, permainan bagi orang dewasa ialah seperti musang berjanggut, telur kasih sayang dan sambut belon cintaku.

Kami membahagikan mereka pada beberapa kumpulan dan kumpulan yang berjaya akan memenangi hamper. Aku dan sahabat-sahabatku berusaha yang bersungguh-sungguh mengendalikan acara sukaneka dengan baik agar suasana ceria dan gembira. Paling menyeronokkan adalah acara cari gula dalam tepung. Seronok kami berbalas bermain tepung. Habis tudung hitam ku kini menjadi putih dikerjakan Farhana hahaha. Tapi seronok sangat. Untuk acara musang berjanggut, peserta dikehendaki untuk mengasingkan rempah ratus. Gigih dan mencuit hati melihat ibu bapa mengasingkan bahan-bahan rempah ratus itu. Sementara aku dan Farhana sambil handle acara sukaneka, sambil mendukung bayi. Dah seperti mak orang kami berdua hahaha. Acara sukaneka terakhir ialah sambut belon cintaku. Kali ini, pesertanya merupakan di kalangan team Kg.Sedul VS team Unisel. Kami perlu menyambut belon dari belakang. Syarat kemenangan ialah team yang dapat mengumpulkan belon paling banyak dalam masa yang cepat akan beroleh kemenangan. Sayangnya team Unisel kali ini kalah kerana banyak belon yang pecah hahaha. Jadi kemenangan berpihak kepada team Kg.Sedul.

Selepas acara sukaneka, kami teruskan dengan demostrasi pembuatan aiskrim tanpa freezer. Sambil-sambil mereka berehat, kita mahu penduduk kampung untuk peroleh ilmu baharu yang boleh dipraktikkan di rumah. Untuk membuat aiskrim tanpa freezer ini, kita memerlukan 5 bahan utama iaitu susu kotak perisanya terpulang kepada cita rasa, ais, garam, 2 plastik zipbag berbeza saiz dan tuala. Untuk lebih enak, boleh juga ditambah dengan creamer dan hiasan seperti coklat syrup dan sprinkles. Selesai sahaja demostrasi aiskrim, kami membuat persiapan bagi pertandingan azan iqamat, berwudhuk dan bacaan 3 qul dan Al fatihah. Aku gembira dan terharu kerana mereka bersemangat untuk menghafaz dan berani masuk pertandingan. Sebelum pertandingan dipertandingkan, didahului dengan ucapan Ustaz Sabri dan pengerusi surau Kg Sedul. Alhamdulillah kini tiba masanya untuk pengumuman pemenang-pemenang acara sukaneka dan pertandingan hafazan. Hassan Hazim selaku wakil sukarelawan Kg.Sedul menyampaikan puisi terlebih dahulu. Kami bergambar bersama dan menikmati jamuan makan makan yang disediakan oleh pihak unisel bersama penduduk Kg.Sedul. Tidak lupa sumbangan barang dapur juga telah diagihkan kepada penduduk kampung sebelum kami beransur pulang. Pastinya akan merindui saat-saat mengajar bersama anak-anak Kg.Sedul di sini.

Pada sebelah petang, dalam 3.15 petang, kami berangkat pula ke Kg.Muruk di padang sekolah rendah Sk Kananapon. Sambutan yang meriah juga dari penduduk Kg.Muruk. Kanak-kanak di Kg.Muruk lebih ramai dari pelbagai usia. Acara sukaneka yang sama juga dipertandingkan seperti Kg.Sedul. Keluasan padang membuatkan kanak-kanak lebih aktif bergerak dan berlari. Oleh kerana itu, kami menambah satu lagi acara iaitu Ikatan Ukhuwah. Permainan memerlukan jumlah yang ramai. Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan harus membentuk satu barisan yang paling panjang. Cara menghasilkan barisan panjang adalah setiap ahli boleh menggunakan barang di sekeliling mereka untuk menyambung barisan. Barisan yang paling panjang akan memenangi pertandingan. Alhamdulillah setelah semua acara dipertandingkan, kini penyampaian hadiah dan penutupan dari Ustaz Sabri, dan wakil penduduk Kg.Muruk. Untuk kali yang terakhir, kami bergambar bersama sebagai kenang-kenangan di hari mendatang. Walaupun aku agak badmood pada petang itu, aku sungguh gembira kerana semuanya berjalan dengan lancar. Aku berbangga dengan sahabat-sahabat seperjuangan ku yang bersemangat dan tidak mengenal erti lelah.

Maka berakhirlah majlis penutupan Projek Turun Ke Desa 6.0 kolaborasi Unisel X ABIM Ranau. Berbaki 6 hari lagi untuk aku dan sahabat-sahabat berada di Sabah negeri di bayu ini. Misi 14/15 hari ini dengan tujuan memberi khidmat pendidikan dan kajian sosiobudaya. Jadi selepas ini, 6 hari yang mendatang akan menyusul dengan misi kajian sosiobudaya pula.


Disediakan oleh,
Nur Nadirah binti Hamdan |
Pusat Bimbingan Islam Islamic outreach (IOA) ABIM, Kg Luanti, Ranau | 16 Februari 2019. 

Comments

Popular posts from this blog

PUISI : Kerjasama Berpasukan

PUISI #6 : Guru, Pahlawan Pendidikan

Puisi: Ilmu Penyuluh Kehidupan..