TRAVELOG #6 : 5 Guru Berbaju Biru Kg Sedul

5 Sukarelawan guru Kg.Sedul bersiap sedia untuk turun ke kampung.

13Februari2019, Rabu. Hari keenam berada negeri di bayu ini dan merupakan hari ketiga mengajar di kampung. Perasaan keterujaan ku membuak-buak beserta rindu akan anak-anak murid Kg.Sedul itu. Senaman pagi kami pada hari ini ialah permainan 'What I Do, What I Say. Untuk pertama kalinya, team guru Kg.Sedul hari ini sedondon tanpa dirancang, orang kata chemistry gitu. Kami berlima mengenakan pakaian berwarna biru pada hari ini. Bertambah semangat untuk aku mengajar tambah-tambah semalam aku diberi 'cuti'.

Sampai sahaja aku dan sahabat-sahabat seperjuangan ku di surau Kg.Sedul, kami melihat anak-anak murid belum ada yang hadir, mungkin kami terlalu awal. Jadi aku dan sahabat-sahabat mengambil kesempatan ini untuk bergambar di persekitaran Kampung. Kg Sedul di kelilingi dengan pokok-pokok yang redup di samping di dusun-dusun yang buahnya ranum. Tak lama selepas itu, anak-anak Kg.Sedul pun tiba.
Pelajaran yang kami ajarkan pada kali ini ialah Azan dan Iqamat. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar, dan murid-murid juga kebanyakannya sudah ada basic knowledge tentang apa itu azan, Iqamat. Mengapa azan dilaungkan. Tak lupa juga untuk kami memahamkan mereka  pengertian dan maksud setiap kalimat azan tersebut. Untuk hari ketiga ini, terdapat penambahan 3 orang pelajar baru. Alhamdulillah senang aku mendengar khabar itu.

Untuk eksperimen, kami serahkan sahaja kepada yang lebih berpengalaman orang kata. Hassan mengetuai eksperimen yang menggunakan coca cola dan gula-gula mentos. Aku yakin ramai sudah tahu berkenaan eksperimen ini. Selepas eksperimen, kami teruskan dengan sedikit modul Bahsa Inggeris santai. Di mana mereka harus memperkenalkan diri dalam Bahasa Inggeris. Aku sedar hari ini emosi aku agak tidak terkawal kerana Syafiq dan Fahmi yang merupakan 2 orang pelajar lelaki kampung itu kerap bergaduh. Aku cuba menenangkan mereka dengan sedikit peringatan keras agar mereka tidak mengulanginya lagi. Fuhh lega apabila cara aku itu berhasil. Melihat keadaan mulai reda, aku berbincang bersama sahabat-sahabat ku agar cepat-cepat berpindah kepada slot ice-breaking supaya mereka tidak mudah bosan. Aku meletakkan syarat pada anak-anak muridku agar berkelakuan baik dan mendengar arahan kakak dan abang.

Permainan pertama, kami membentuk bulatan dan menyanyi sambil menggerakkan anggota tubuh badan. Selepas itu, kami meneruskan slot ice-breaking yang bertajuk 'What I Do, What I Say', sama seperti senaman pagi yang kami lakukan pada pagi tadi. Dan permainan yang terakhir ialah permainan 'Teacher Says'. Mereka perlu mendengar dan bertindak mengikut apa yang guru katakan. Untuk kesemua permainan yang kami lakukan, aku sangat terharu kerana dapat melihat mereka sangat gembira dan sayang akan guru-guru mereka. Hari semakin senja, kami mempersiapkan diri untuk mendirikan solat. Seperti kebiasaan, Hassan akan menjadi bilal, tetapi kali ini aku terkejut kerana Syafiq sudah berani untuk azan di hadapan. Alhamdulillah, mungkin berkat dari pelajaran yang diajarkan hari ini dan galakan daripada guru-guru terutama Hassan selaku satu-satunya guru lelaki. Usai solat maghrib, kami refresh semula pengajaran dari hari pertama sehingga hari ini, hari ketiga.

Penat juga hari ini sehinggakan aku tertidur sekejap di surau Kg Luanti selepas balik dari mengajar. Aku juga tak menjamah makanan yang sahabat ku masak kerana letih yang teramat. Tetapi hari ini aku terkesan dengan beberapa perkara, antaranya dapat mengendalikan pelajar-pelajar yang agak aktif dengan kaedah berkesan, Syafiq yang berani untuk azan Solat Maghrib dan lain-lain lagi. Syukur selesai untuk hari ketiga mengajar Berbaki 2 hari lagi. Sahabat-sahabat ku kepenatan, usai post-mortem, masing-masing 'syahid' di meja tempat kami meeting. Aku mengambil gambar sebagai kenang-kenangan. Tergelak kecil seketika. Dengan harapan, semoga hari esok lebih baik daripada hari ini.
.
.
Disediakan oleh,
Nur Nadirah binti Hamdan |
Pusat Bimbingan Islam Islamic outreach (IOA) ABIM, Kg Luanti, Ranau | 13 Februari 2019.

Comments

Popular posts from this blog

TRAVELOG : REZEKI

PERMULAAN LANGKAH

Puisi: Termenung