TRAVELOG #12 : Jelajah Bandar K.K Demi Tasbih Digital


19Februari2019, Selasa. "Bangun-bangun!!! 6 pagi sudah nad.." Pekikan Kak Mimy memecahkan lena mimpiku. Aduhai lambat pula aku dan sahabat-sahabat ku bangun hari ini. Letih sangat semalam kerana kepenatan 1 hari berjalan barangkali. "Aaaa sudah, bilik air penuh" terpaksa kami menunggu giliran. Kerana lama menunggu, ada yang mandi di rumah nenek kak Mimy. Untuk pengetahuan, aku dan sahabat perempuan menginap di rumah ibu kak mimy sementara rijal menginap di rumah nenek kak mimy. Tak jauh, sebelah bangunan sahaja letaknya. Usai dan solat subuh, aku terus ke kedai ibu kak mimy kerana sahabat-sahabatku telah menunggu.

Jadual kami pada hari ini tidaklah begitu padat. Akan tetapi kepadatannya terletak pada kerja kami yang sering tertangguh. "Ahhh tak usah menuding orang lain, aku sendiri pun begitu, sedihnya". Mengikut jadual pada pagi ini, kami akan melakukan kunjungan hormat yang pertama bersama ABIM dan SISMA Sabah. Kami ke sana dengan menaiki bas mini. Mujur untuk mendapatkan pengangkutan di sini agak mudah dan murah. Rata-rata ramai masyarakat yang menggunakan pengangkutan awam. Seiingat aku, bas mini ni sama seperti angkot di Indonesia. Macam mana aku tahu? Maklumlah penonton sinetron hahah.

Kami tiba di Pejabat SISMA agak lewat dalam jam 10 pagi. Ini disebabkan kami salah jalan pada awalnya. Menurut maklumat yang kak mas terima, Pejabat SISMA Abim terletak di Putatan, Pasir Putih. Rupanya kami salah jalan. Bila aku waze Pejabat SISMA, ia sepatutnya terletak di kawasan rumah kedai di Jalan Sembulan. Salah kami juga kerana hanya tak peka dan hanya mengharapkan ketua misi sahaja. Sepatutnya, semua harus berperanan penting dalam hal-hal sebegini. Mujur pak cik pemandu bas yang membawa kami baik hati sanggup patah balik membawa kami ke Sembulan.

Sampai sahaja di Pejabat ABIM SISMA, kami memulakan kunjungan hormat dengan sesi ta'aruf antara Unisel dan pihak SISMA. Melalui sesi ta'aruf yang kami lakukan tadi, kagum aku melihat kepimpinan yang mereka galas kerana kesemua dari mereka masih muda-muda belia. Tak terkecuali kami juga. Alhamdulillah banyak perkara yang dibincangkan sepanjang kunjungan hormat itu. Antaranya perkenalan persatuan 3 badan kederasasi dari Unisel yang bernaung di bawah PKPIM Unisel teras. Selain itu, kami juga membincangkan kerjasama bersama SISMA untuk Projek Turun Ke Desa yang seterusnya iaitu TURDA 7.0.

Di dalam perbincangan tersebut, kami ingin memfokuskan kepada kemajuan kehidupan masyarakat agar masyarakat tidak hidup di takuk lama dan cara-cara berkesan untuk menarik minat orang kampung join program-program sebegini. Selepas itu, kami dihidangkan dengan sarapan pagi iaitu bihun goreng, dan teh o. Wahh sedapnya. Kebetulan pagi tadi di rumah Kak Mimy aku tak sempat bersarapan. Sedap sangat bihun goreng itu sampaikan ahabat-sahabatku tambah lagi.

Selesai urusan kunjungan hormat, kami memulakan perjalanan dengan hanya berjalan kaki pusing-pusing satu Bandar Kota Kinabalu. Tujuan kami adalah untuk mencari tasbih digital kecil memandangkan semalam hanya ada tasbih digital yang saiznya besar dan bertali, seperti tasbih orang pergi haji. walaupun begitu, tasbih digital besar itu aku beli juga kerana unik dan lain daripada yang lain. Aku sangat teruja berzikir menggunakan tasbih digital besar itu sehinggakan sahabat-sahabatku yang lain tergelak besar melihat gelagat aku hahaha. Untuk pengetahuan lagi, dalam misi sukarelawan, kami perlu mencapai target zikir yang telah kami pilih iaitu sebanyak 100 000 zikir sepanjang 15 hari misi. Ini bermakna dalam satu hari perlu capai lebih 7000+ zikir. Aku agak kesal dengan diriku kerana kurang berzikir dari hari pertama. Dah last, ni baru nak pulun habiskan. Ini menjadi sebagai satu pengajaran buat diriku dan sahabat-sahabat misiku yang lain. 

Jadi berbalik pada misi pencarian tasbih digital kecil untuk Kak Mas dan Aimi, kami masuk satu persatu kedai di Bandar KK, kedai mana je yang kami tak cari, hampir semua kedai kami tanya "jual tak tasbih digital?" Agak susah untuk mencarinya di sini. Tapi kami tak mudah putus asa sebaliknya terus berusaha mencari sehingga jumpa. Alhamdulillah kami berhasil menemukan tasbih digital tersebut di kedai jual buku-buku Islam. Nasib baik ada Kak Mimy yang jadi tour guide kami sepanjang kami berjalan. Disebabkan kami hanya berjalan kaki, kakiku sakit di bahagian jari manis kaki. Tengok-tengok je dah gelembung. Aduhh pedih. Sahabat-sahabat ku yang lain dah pantas berjalan di hadapan, kadang-kadang aku selalu tertinggal di belakang. Mujur kak Nazifah memegang erat tanganku supaya aku tidak ketinggalan. Terima kasih juga kepada Hassan yang tolong angkut bag laptopku yang berat tu. Dan selalu ada di belakang memastikan kami baik-baik sahaja.

Petang tu, memang kami telah sepakat untuk ke Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu bagi menyiapkan segala laporan harian, travelog dan puisi yang telah ditugaskan sepanjang misi 15 hari. Kecewa dengan diri sendiri kerana sepatutnya itu tugasan setiap hari tapi aku tertangguh kerja. Semoga tugasan-tugasan dapat diselesaikan kerana ini adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan. Aku berharap dapat perbaiki pengurusan masaku dengan lebih baik dan efektif kerana seorang pemimpin itu harus menepati masa dan bertanggungjawab.
.
.
Disediakan oleh,
Nur Nadirah binti Hamdan |
Kediaman Saudari Mimy Minarti |
Taman Jaya Diri, Sepanggar, Kota Kinabalu | 19 Februari 2019. 

Comments

Popular posts from this blog

PUISI : Kerjasama Berpasukan

PUISI #6 : Guru, Pahlawan Pendidikan

Puisi: Ilmu Penyuluh Kehidupan..