TRAVELOG : Vest Sukarelawan Menjadi Tumpuan

Saat yang mendebarkan telah pun tiba. 8 Februari 2019, jam 12.30 pagi bermulalah satu perjalanan suka duka, pahit manis Team Misi Turun Ke Desa (TURDA) 6.0. Dianggotai oleh 2 jejaka di samping 7 gadis pingitan. Itulah 9 orang ahli Sukarelawan Misi Turda kali ini. Lambaian terakhir buat sahabat seperjuanganku yang masih menjalani induksi sebelum berangkat ke KLIA2. Terasa agak sebak seketika kerana ini merupakan kali pertama aku ke Misi Sukarelawan. Berdebar itu pasti!

             Sebelum berangkat ke KLIA2.


Perjalanan kami dari Unisel BJ ke KLIA2 yang dipandu oleh Encik Tanggo mengambil masa lebih kurang 2 jam. Mata usahlah cerita, memang sepanjang perjalanan, semua sepi tanda begitu lena. Ada lah seorang dua yang mungkin tak boleh lena. 2.15 pagi, alhamdulillah kami tiba dengan selamat di KLIA2.




               Sesi santai : Sharing Moment

Masuk sahaja Team Turda ke dalam KLIA2, aku lihat ramai orang luar yang mula menumpukan perhatian kepada kami. Mata-mata seakan memerhati. Mulut-mulut terdengar berbicara antara satu sama lain. Sudah tentulah mereka memerhati pada pakaian yang sedang kami pakai. VEST SUKARELAWAN! Lengkap logo grup Sukarelawan Darul Ehsan dan bendera Malaysia yang tertera di Vest sukarelawan kami semua. Agak janggal dan mencuit hati pada mulanya tapi sebenarnya itulah yang harus team misi banggakan kerana hakikatnya kita membawa nama Universiti dan negara.

             
Tibanya masa untuk aku dan sahabat seperjuangan ku timbang bagpack yang kami angkut itu. Ternyata hampir kesemua bag tersebut melebihi had berat yang dibenarkan. Hanya beberapa bagpack sahaja dibenarkan bawa masuk ke dalam flight. Di kaunter urusan baggage sahaja dah mengambil masa yang agak lama. Orang yang beratur panjang di belakang mula panas hati kerana menunggu lama. Kedengaran mereka ada yang berkata-kata "Sukarelawan apa ni". Lagi-lagi vest sukarelawan kami menjadi tumpuan.

Syukur segalanya dipermudahkan sehingga kami selamat tiba di Airport Kota Kinabalu, Sabah. Negeri di bawah bayu. Kali ketiga aku hadir di sini, ketiga-tiganya dengan tujuan yang berbeza. Sungguh cantik aturan Allah, aku percaya segalanya berhikmah. Tak lama selepas kami sampai di Airport KK, kereta sewa pun tiba. Rupa-rupanya yang memandu itu ialah abang kepada kak mimy minarti. Tempat pertama yang kami lawati ialah bangunan yayasan Sabah. Sekadar untuk mengambil gambar kenang-kenangan. Satu ungkapan tentang bangunan tersebut, "gah dan berdiri teguh pada paksinya". Seakan-akan melambangkan team Sabah Turda 6.0 yang tetap akan teguh walau apa jua rintangan dan cabaran.

Tidak lupa untuk kami singgah ke rumah kak Mimy di Taman Jaya Diri, Kota Kinabalu. Satu lagi kenangan indah yang kami akan ingat sampai bila-bila. Kehadiran kami disambut baik bahkan meriah dengan telatah jiran-jiran tertangga dan keluarganya. Kami dijamu dengan pelbagai hidangan yang sungguh lazat. Ditambah pula layanan mesra penduduk kampung itu. Alhamdulillah.


Menziarahi rumah Saudari Mimy di Taman Jaya Diri, KK. 

11.00 pagi, destinasi seterusnya, kami bergerak untuk mencari barang keperluan dan bahan-bahan masakan. Sampai sahaja team kami di CKS supermarket KK, orang ramai memandang kami dengan penuh tanda tanya. Maklumlah dengan vest segala bagai. Tapi  apabila melihat logo Sukarelawan, aku pasti ramai yang faham. Bahkan mungkin ada berasa kagum dengan kerja-kerja sukarelawan yang kami jalankan ini.

Jam menunjukkan pukul 1:40 petang. Kami meneruskan perjalanan ke Rumah Putera Harapan (RPH), Ranau Sabah. Perjalanan ke Ranau mengambil masa hampir 3 jam untuk kami sampai ke destinasi yang kami tuju. Sepanjang jalan, aku berasa terpegun dengan keindahan gunung ganang, bukit bukau hijau yang Allah ciptakan. Subhanallah. Hanya itu yang aku dapat ungkapkan. Sambil berehat di dalam kereta, aku merenung di tebing jalan yang cerun itu. Aku menjenggah sahabat-sahabat misiku. Aku tahu mereka penat. Kuatlah bersama, jatuh bangun kita bersama. Moga kita terus kuat untuk 14 hari lagi yang akan kita tempuhi ini. Vest sukarelawan ini akan menjadi salah satu kenangan terindah yang akan ku semat dalam hati.

Ingat kata-kata ini,
Dunia kita berpenat, akhirat tempat kita berehat.


Disediakan oleh,
Nur Nadirah binti Hamdan |
Rumah Putera Harapan (RPH), Ranau Sabah | 8Februari2019

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Puisi: Ilmu Penyuluh Kehidupan..

TRAVELOG : REZEKI

PERMULAAN LANGKAH