Travelog : Singkatnya 24 Jam

         

            Hari-hari kami di Kota Kinabalu di awal pagi berjalan seperti biasa iaitu bersiap kendiri, bersarapan dan sebagainya. Cuacanya juga pada hari itu tidak mengecewakan, tidak terlalu terik tetapi tidak juga menunjukkan seakan ingin hujan. Aku sangat bersyukur kepada ilahi kerana dapat menikmati suasana yang tenang dan nikmat untuk berjalan kaki serta menaiki pengangkutan awam ke tempat destinasi. Jauh perjalanan kami pada hari itu dengan keadaan yang kami sendiri tidak pasti dengan lokasi yang harus dituju, kami hanya mampu berdoa dan bertawakal sahaja.
                Mengikut kepada tentatif, pagi itu kami perlu membuat kunjungan hormat bersama SISMA dan hendak dijadikan cerita kami tidak dapat datang mengikut masa yang ditetapkan dengan tepat kerana telah sesat semasa menuju ke pejabat mereka. Nasib kami baik kerana mereka faham situasi kami yang tidak biasa dengan jalan di sini, namun itu tidak bermakna kami perlu mengambil kesempatan terhadap keprihatinan mereka dan kami tetap memohon maaf atas kesilapan tersebut.
            Setelah itu, kami telah ke Sinzuran untuk mencari sedikit barang keperluan. Hampir 1 jam jugalah lebih kurang kami menghabiskan masa di sana untuk mencari barang tersebut. Kemudian kami telah merancang untuk menghabiskan masa di Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah dek kerana masih banyak kerja yang tertangguh disebabkan kelalaian sendiri. Maksud kelalaian dalam ayat ini bukanlah kerana kami leka tidak melakukan tugasan tetapi berasa kurangnya detik-detik kami setiap hari untuk melunaskan kewajiban rutin harian kami seperti membuat travelog, laporan, data profiling dan sebagainya. Namun untuk menjadi sukarelawan yang berjaya itu adalah salah untuk dijadikan satu alasan.
              Petang itu kami telah bergegas ke Perpustakaan UMS untuk menyelesaikan apa yang menjadi tanggungjawab kami untuk diselesaikan. Sepanjang waktu yang berbaki pada waktu itu, kami telah menghabiskan masa di sana sehingga waktu malam. Bersengkang mata menyiapkan tugasan walaupun kelopak ini semakin berat untuk tidak melihat dunia, memerah otak untuk mengingat semula dan membina ayat yang sesuai dalam melakukan tugasan. Tersiksa rasanya bila banyak kerja yang tertangguh dan rasa terbeban, namun biasalah manusia tidak akan tersedar jika belum terkena, bak pepatah orang melayu kata 'Sudah terhantuk baru terngada', selagi tidak kena selagi itu tidak sedar.
               Aku menyesal dan terkilan dengan sikapku sendiri dan nekad mahu berubah menjadi seorang yang tepati masa. Sesungguhnya situasi ini dapat dikaitkan dengan surah al-asr iaitu ayat pertama dan kedua 'Demi masa, Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian'. Betapa ruginya aku tidak menepati masa dengan tidak melaksanakan tugasan mengikut masa yang ditetapkan, banyak kesan buruknya yang aku telah dapat berbanding kelebihannya. Aku benar-benar menyesal dan ingin berubah kerana setiap manusia itu sentiasa mempunyai peluang untuk berubah dan boleh berubah bila-bila masa demi kebaikan dirinya. Aku telah mengambil iktibar atas kelalaianku sendiri dan sentiasa berpegang pada ayat, jika mahu berubah tidak perlukan alasan sebagai benteng kekangan untuk berubah. Hari-hariku pada waktu itu terbuang begitu sahaja sehingga rasa singkatnya 24 jam yang aku ada.



Nazifah Nazri
19 Februari 2019
7:02p.m
Perpustakaan UMS
             
           

Comments

Popular posts from this blog

Puisi: Ilmu Penyuluh Kehidupan..

TRAVELOG : REZEKI

PERMULAAN LANGKAH