Travelog : Perpisahan


Pengakhiran Majlis Penutup Bersama Penduduk Kampung Muruk


         Hari ini adalah hari terakhir aku berjumpa dengan penduduk kampung Muruk. Jauh dari sudut hati aku masih mahu berlama-lamaan dengan mereka, terus menabur bakti dan jasa demi menyebarkan agama tercinta, ingin mengukuhkan iman di hati, ingin menambah ilmu didada. Namun apa kan daya, aku masih mempunyai tanggungjawab bersama yang lainnya, menjadi pelajar di tanah air, menjadi anak yang mendengar kata kepada kedua ibu bapaku.
             Walaupun penat petang itu dek kerana tenagaku hampir hilang kesemuanya melaksanakan tanggungjawab yang lainnya di waktu pagi, ku gagahi jua jasad yang sudah longlai ini demi berjumpa dan meluangkan masa buat saat-saat kali terakhirnya kerana tidak mahu terlepas momento-momento terakhir bersama mereka untukku bawa sepanjang hayatku. Alhamdulillah, kedatangan kami sentiasa mendapat sambutan daripada penduduk kampung Muruk.
               Setibanya kami disana penduduk kampung tersebut telah bersedia tunggu di tempat yang ditetapkan. Malu pula rasanya apabila yang tua mahu pun yang muda terlebih dahulu menantikan kedatangan kami seperti tetamu kehormat, walhal kami hanya insan biasa yang ingin berkongsi pengalaman dan ilmu kepada mereka. Kesungguhan mereka itu telah meransang diriku untuk terus bersemangat walaupun nafasku tercungap-cungap menjalankan rutin hariannya.
             Petang itu telah berjalan dengan lancar, pelbagai aktiviti dapat dilakukan bersama mereka. Aku yakin detik-detik itu adalah saat yang mereka sendiri tidak mahu lupakan, malahan jika masa boleh dihentikan mengikut kehendak sudah pastinya mereka akan membuat permintaan untuk itu. Penduduk kampung yang datang berasa seronok sekali dengan aktiviti yang disediakan seperti musang berjanggut, tiup tepung dan sebagainya. Aku dan rakan seperjuangan berasa bersyukur kerana berjaya melaksanakan program terakhir dengan mereka dengan lancar dan berjaya.
              Kemudian, tiba pula waktu yang sangat semua orang tidak mahu lalui. Selepas majlis telah dirasmikan dan penyampaian hadiah telah dilakukan. Buat kali terakhirnya kami mengambil sedikit masa untuk bergambar. Kelihatan air muka mereka seperti berat untuk berpisah dengan kami semua, seakan kami sudah sebati walaupun mereka baru mengenali kami beberapa hari. Kami yang mengajar ini juga berasa terkesan kerana tempoh kami mengajar sangatlah terhad, berat hati kami untuk meninggalkam mereka terkapai-kapai untuk mendapatkan ilmu penuh didada.



Nazifah Nazri
16 Februari 2019
3:31p.m
Perpustakaan, UMS

Comments

Popular posts from this blog

Puisi: Ilmu Penyuluh Kehidupan..

TRAVELOG : REZEKI

PERMULAAN LANGKAH