Travelog : Nasib Anak Desa
Antara pelajar yang semangat menghadiri kelas
Hari ini cuaca begitu indah sekali, tidak mendung, tidak hujan, tidak juga terik. Hanya setenang suasana yang diinginkan oleh semua manusia. Memudahkan bagi insan-insan lain yang ingin mengerjakan rutin hariannya diluar seperti ke kebun, turun ke laut, pergi ke kilang dan sebagainya. Ia merupakan satu nikmat yang perlu disyukuri oleh semua manusia dan juga perlu dihargai dengan tidak melakukan terus kerosakan di atas muka bumi ini.
Dengan suasana yang harmoni, aku dan pasukan misiku yang ditugaskan di kampung Muruk seperti dua hari lepas telah melakukan rutin harian kami pada petang itu yang bermula pada pukul 4 sehingga pukul 8. Setiap detik bertukar detik, setiap hari bertukar hari, aku selalu meletakkan harapan yang tinggi kepercayaanku kepada kanak-kanak di kampung tersebut iaitu datang kerana ikhlas ingin menuntut ilmu dan manfaatkan kedatangan kami dengan sebaik yang boleh.
Sesi pengajaran telah bermula seperti biasa dibahagikan mengikut perkembangan mereka. Semasa waktu pengajaran dan pembelajaran berlangsung tiba-tiba aku telah dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan kanak-kanak yang bukan muslim. Kami difahamkan oleh pelajar yang sememangnya bersama kami bahawa kanak-kanak itu juga kawan mereka. Lalu kami semua menerima kedatangan mereka dengan hati yang terbuka.
Kedatangan kanak-kanak yang bukan islam itu telah memberikan kesan kepada diri kami, bahawa mereka sangat berminat untuk belajar namun kerana kekangan sumber tenaga yang kurang telah menyebabkan mereka tidak dapat belajar sama seperti kanak-kanak yang bernasib yang lain. Aku bersyukur kepada ilahi kerana dapat dilahirkan dalam keluarga yang mampu untuk mendapat pendidikan yang cukup dari segi dunia dan akhirat. Seperti malu rasanya apabila difikir semula saat-saat aku merungut ketika belajar dahulu sedangkan masih ada ramai lagi golongan yang kurang bernasib baik seperti ini yang dahagakan ilmu dari insan yang diperlukan.
Sedikit sebanyak kanak-kanak itu telah menyentuh hati kecilku yang kadangkala berasa tidak beruntung dan ada juga terasa tiba-tiba menyesal kerana pernah merungut ketika melaksanakan tugasan guruku. Seakan tidak menghargai apa yang telah mudah ku dapatkan nk dibandingkan dengan kanak-kanak itu sangat mendambakan orang luar untuk mengajar mereka.
Nazifah Nazri
13 Februari 2019
11:40
Pusat ABIM, RANAU

Comments
Post a Comment