Travelog : Kudrat Seorang Sukarelawan
Barang sumbangan yang ingin diberikan kepada penduduk kampung Muruk dan kampung Sedul
Pagi melabuhkan tirainya dan malam pergi menghilang, rutin-rutin pagi seperti baca al-mathurat dan riadah pagi berjalan seperti biasa. Cuma sedikit berbeza kerana pagi itu adalah giliran aku masak sarapan untuk yang lain. Memang bagi memudahkan kerja tugas memasak dibahagikan gilirannya dengan adil dan saksama dengan persetujuan yang lain. Sebaik sahaja sarapan aku bersama 4 rakan seperjuanganku yang lain selesai, aku telah ditugaskan untuk membeli barang-barang sumbangan bersama 4 rakan yang lain untuk diberikan di kampung Muruk dan Kampung Sedul.
Aku telah bersiap siaga untuk perkara-perkara seperti ini kerana aku faham untuk menjadi sukarelawan yang berjaya bukan mudah dan perlukan banyak pengorbanan dari segi masa, harta dan jiwa. Tidak semua insan yang dapat menjadi sukarelawan dapat melakukan pengorbanan dan itu bermakna tidak semua insan yang ingin menjadi sukarelawan boleh mempunyai ciri-ciri sukarelawan.
Aku dengan rakan-rakanku mengambil masa agak lama untuk mencari barang-barang yang ingin dijadikan sebagai sumbangan untuk diberikan kepada dua buah kampung iaitu kampung Muruk dan kampung Sedul. Sesi pembelian mengambil kira-kira hampir sehari. Pergerakkanku ku percepatkan kerana khuatir masa tidak mencukupi kerana ada yang perlu solat jumaat ketika itu. Dari barang sumbangan sehinggalah barang-barang sukaneka. Dari cuaca sejuk embun pagi sehinggalah matahari tegak tercacak di atas kepala sesi perbelanjaan tidak selesai. Mataku sudah mulai kuyu dan kaki sudah mulai lenguh dek kerana bermeter-meter berjalan kaki, namun ku gagahi jua tenagaku demi penduduk kampung.
Kami pulang hampir kepetangan, tidak sempat lelah hilang, kami terus gerak ke kampung untuk melakukan rutin harian kami bersama-sama anak-anak dikampung itu sehingga waktu malam. Aku berasa itulah hari yang memenatkan sekali bagi ku. Walaupun ia merupakan satu pengorbanan yang di pandang kecil tetapi ia adalah satu perkara yang puas bagiku kerana dengan cara itu aku dapat membantu orang yang memerlukan.
Di mana saat yang aku perlu melakukan pengorbanan dari segi tenaga dan masa berbekalkan keteguhan dan ketabahan hati serta kesabaran iman. Aku mengaku sedikit sebanyak aku ada juga mengeluh kepenatan, namunku mencari semula semangat baru, ku bayangkan rupa kanak-kanak yang riang ria, sosok tubuh warga emas yang lemah datang menghadiri kelas setiap hari dan akhirnya kepenatan itu hilang dengan serta merta.
Nazifah Binti Nazri
15 Feb 2019
2:43p.m
Pusat ABIM, RANAU

Comments
Post a Comment