Travelog : Kagum


Saat terakhir bersama wakil ABIM, Ranau dan anak-anak Rumah Putera Harapan

            Siang melakukan tugasnya dan malam bergantikan waktunya untuk berehat pula setelah usai menjalankan waktu sebagai malam yang indah. Aku bersama-sama rakanku yang lain telah bersiap kemas untuk berangkat ke destinasi yang seterusnya kerana urusan kami di Rumah Putera Harapan (RPH) mahu pun Kg. Luanti telah lama selesai. Suasana, gelagat dan keriuhan di RPH itu pasti akan ku rindui kelak. Rasa begitu sekejap kami berkenalan dengan mereka sudah mahu berpisah, namun apakan daya tanggungjawab kami masih diperlukan ditempat lainnya. Aku masih seorang pelajar di tanah air ku sendiri dan aku masih mempunyai ibu bapa yang perlu sentiasa mendapat keberkatan, masih banyak amanahku yang belum diselesaikan sebagai seorang pelajar dan seorang anak. Selamat tinggal anak-anak RPH semoga kita berkesempatan untuk bersua muka lagi.
              Kami telah bergerak pagi pada hari itu kerana banyak persinggahan yang telah dirancang sepanjang perjalanan. Di sepanjang perjalananku, aku telah menghayati disetiap jalan yang telah dilalui, aku kagum dengan ciptaan Allah, aku kagum dengan suasananya begitu tenang sekali bersama cuaca yang sejuk dan menyegarkan membuatkan aku terfikir aku akan merindui situasi ini sehingga aku mempunyai keinginan untuk datang kembali ke bumi di bawah bayu ini. Kadangkala gunung Kinabalu juga dapat dilihat dan tersergam indah seperti tabir dalam sebuah teater di istana budaya, ya dan untuk kali ini sekali lagi aku kagum dengan kewujudannya.
Keindahan pemandangan di Desa Dairy Farm, Kundasang

              Kami tidak melepaskan peluang untuk singgah di Desa Dairy Farm, di mana tempat tersebut adalah sebuah perternakan lembu baka luar negara yang telah dibela oleh penduduk tempatan, susunya juga segar dan tiada tandingannya untuk dibandingkan dengan susu lembu yang dijual diluar sana. Aku sangat kagum dengan kecantikan pemandangan tempat di situ seakan rasa berada diluar negara kerana dengan angin yang sejuk sehingga menusuk tulang dan tempat tersebut juga dibina berdasarkan seperti perladangan diluar negara. Di mana pemandangan disana telah membuatkan pengunjung yang datang tenang sahaja apabila melihatnya. Ketenangannya itu sehingga kan sesiapa yang melihatnya boleh melupakan segala masalah yang ada. Aku begitu kagum dengan keindahannya walaupun tempat begitu adalah wujud kerana perbuatan manusia tetapi merupakan ciptaan Allah yang maha esa.
Ketibaan kami di Hot Spring, Ranau

               Tempat lain pula yang sempat kami singgah ialah Hot Spring, Ranau, walaupun persekitarannya kelihatan seperti biasa tetapi keunikan landskapnya membuatkan aku kagum dengan yang menciptanya, dengan pokok-pokok yang harus dijaga dari kepupusan, penambahbaikan  taman-taman dan sebagainya tidak kiralah siapa pun insan itu, tetapi dia telah memanfaatkan apa yang telah dianugerahkan oleh Allah iaitu akal fikiran yang panjang, disamping memelihara apa yang telah tersedia tercipta. Ini bermakna individu tersebut mempunyai sifat menghargai ciptaan tuhan.
               Istilah kagum untuk bumi Ranau dan seangkatan dengannya tidak terkata kerana keindahannya terlalu bernilai dan tidak dapat diukur dengan kata-kata.  Aku kagum melihat kecantikan semula jadinya, aku kagum dengan kesegaran udaranya, aku kagum dengan kesuburan buminya dan banyak lagi kekaguman yang tidak mampu dinilai dengan lisan.



Nazifah Binti Nazri
18 Februari 2019
5:52p.m
Perpustakaan UMS

Comments

Popular posts from this blog

Puisi: Ilmu Penyuluh Kehidupan..

TRAVELOG : REZEKI

PERMULAAN LANGKAH