Travelog : Indahnya Ciptaan Tuhan
Pokok teh yang ditanam di Ranau, Sabah
Siang berlabuh pagi dan malam menutup tirainya, membiarkan bumi disinari oleh cahaya mentari seperti sediakala tetapi berbeza dengan kali ini kerana tuhan membenarkan rahmatnya membasahi bumi di subuh yang hening disaat manusia lagi terpisat-pisat mahu celek ingin menunaikan kewajibannya kepada Allah sebagai tanda kesyukuran kepada sang Pencipta. Aku bersama rakan-rakanku yang lain menjalankan rutin harian kami seperti biasa diwaktu pagi cuma pagi itu agak berlainan sedikit riadahnya.
Demi ingin menghayati ciptaan yang maha esa, kami telah berjaya berjalan kaki menuju ke Ladang Sabah Tea yang mana jaraknya lebih kurang 1 kilometer lebih. Seramai 9 orang rakan seperjuangan telah berjaya naik sampai ke atas. Perjalanan kami telah mengambil masa lebih kurang 1 jam untuk tiba di kilang tersebut.
Ini kerana masing-masing begitu rasa teruja dengan keindahan ciptaan tuhan semesta alam. Pemandangannya seakan boleh menenangkan jiwa yang kacau, hati yang gelisah bahkan boleh menenangkan fikiran sesiapa sahaja yang melihatnya. Sehingga rakan-rakan yang lain tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar sebagai tanda kenangan kami pernah menjejakkan kaki ke tempat tersebut.
Tidak cukup dengan itu kerana pemandangan ladang teh dari bahagian atas lebih mengujakan kepada yang melihatnya. Kehijauan bukit bakau yang dipenuhi dengan pokok-pokok teh yang rendang dengan suasana embun pagi yang menyejukkan sehingga menusuk ke tulang-temulang membuatkan diri ini rasa baru dapat hidup di dunia yang segar di banyak-banyak pelosok di dunia ini. Kesyukuran nikmat yang tidak terhingga itu membuatkan aku berasa luasnya kuasa tuhan itu tidak dapat diungkapkan keindahannya.
Setelah puas menangkap gambar dan mengambil angin di ladang teh tersebut. Kami pun turun ke bawah untuk kembali ke tempat penginapan bagi mengerjakan perkara yang masih tidak selesai lagi. Tambahan pula, sesi pengajaran akan bermula di sebelah petang, jadi kami ingin melakukan persediaan sama ada dari segi kendiri mahu pun pengajaran untuk pembelajaran tersebut.
Nazifah Binti Nazri
12 Feb 2019
Pusat Abim, Ranau

Comments
Post a Comment