TRAVELOG : HARI PERTAMA AKU MENYAMPAIKAN ILMU
TRAVELOG : HARI PERTAMA AKU MENYAMPAIKAN ILMU
Menjadi seorang guru mahupun tenaga pengajar bukanlah cita-citaku. Jika pada zaman kanak-kanak, mungkin ia ada terlintas bahkan tercatat dalam memori diari. Namun itu hanyalah impian dan imaginasi zaman ku bergelar kanak-kanak.
DE Volunteer menjadi laluan untuk aku menjadi seseorang yang lebih baik dan bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara. Menyertai Misi TURDA Sabah 6.0 membuka lebih luas ruang untuk aku berbakti. Pada awalnya, niat di hati menceburkan diri dalam misi ini hanya disebabkan ianya dilakukan di negeri kelahiranku. Namun, setelah melalui tiga induksi baru aku mengerti dan sedar bahawa niat yang kusematkan dalam hati adalah salah. Aku seharusnya berniat kerana Allah SWT, ingin menyampaikan ilmu bagi mereka yang memerlukan.
Hari pertama aku menelusuri pedalaman bersama rakan seperjuangan sebagai tenaga pengajar, menyampaikan ilmu. Agar terasa berdebar di hati kerna diri ini juga hanyalah insan biasa yang masih perlu belajar lebih banyak. Ketibaan kami disambut oleh dua orang kanak-kanak lelaki yang berumur dalam linkungan sembilan tahun. "Yeayyyyy . . sampai sudah .", begitulah teriakan mereka sambil berlari laju ke arah kami. Kelas dimulakan dengan fokus terhadap rukun iman dan rukun islam. Kehadiran kanak-kanak semakin bertambah, seramai enam orang (lingkungan umur sekitar 8-10 tahun). Turut hadir empat orang dewasa, ibu-ibu kepada kanak-kanak tersebut.
Alhamdulillah, ada dalam kalangan kanak-kanak ini yang sudah tahu mengenai rukun iman dan rukun islam cuma kurang memahami dengan lebih mendalam. Kemudian diteruskan dengan rukun berwudhuk dan dipraktikkan bagi memastikan tahap kefahaman mereka. Ada di antara mereka yang cepat faham apa yang diterangkan dan ada juga yang perlu diterangkan secara berulang kali. Namun, itu adalah perkara biasa kerana bukan semuanya memiliki tahap penerimaan yang sama. Hanya mereka yang bergelar guru atau tenaga pengajar sahaja yang memahami.
Setelah solat maghrib diteruskan dengan bacaan mathurat dan tadabbur Al-quran, kemudian solat Isyak berjemaah. Selesai solat, sesi mengulang kaji apa yang telah diajarkan sebelumnya. Bacaan al-fatihah juga dilakukan bagi memastikan sama ada sebutan mereka betul ataupun tidak. Sebelum pulang kami sempat dijamah kuih muih dan minuman panas. Satu pesanan, "semua amal tergantung pada niatnya, maka niatkanlah kebaikan di setiap amal anda, semoga bermanfaat bagi orang lain".
Disediakan Oleh : Mimy Minarti binti Pangeran
11/02/2019 (11:40pm)
Pusat Bimbingan Islam (IOA)
Ranau, Sabah.
Comments
Post a Comment