TRAVELOG : BUMI DI BAWAH BAYU


             Di hari yang terik di saat matahari memancarkan sinarannya kepada manusia. Kami sebagai peserta ahli sukarelawan misi yang ingin meneruskan perjuangan telah selesai membeli barang persediaan untuk masuk ke kampung pendalaman tersebut, bercampur dengan masyarakat di sini berbeza rasanya tidak seperti selalunya membeli barang kerana dialek yang didengar seakan janggal dengar di telinga, ia terasa seperti sesuatu yang unik bercampur pelik dek kerana perbezaan budaya dari segi bahasa kadangkala walaupun bahasa baku digunakan namun masih terdapat ketidakfahaman dalam sesetengah perkataan, di situlah wujudnya keunikan masyarakat di sini.
              Kemudian perjalanan diteruskan lagi ke rumah salah satu peserta yang telah kami kunjungi sebelum membeli barang tadi iaitu saudari Mimy Minarti untuk memberi ruang kepada kaum lelaki solat jumaat. Sementara itu, aku diberi peluang oleh saudari Mimi untuk membuat ABC dan dihidangkan kepada ahli sukarelawan yang lain. Aku berasa ini adalah salah peluang yang menjadi pengalaman berharga pada diri ku kerana kebiasaannya aku hanya tahu membeli jika menginginkannya, ditambah pula sesuai dengan suasana tengahari yang terik dan anak tekak yang sedang kering, terasa enak dirasa walaupun baru kali pertama minum ABC buatan sendiri.
              Selepas itu, perjalanan diteruskan lagi ke destinasi seterusnya, indah sungguh ciptaan tuhan, udara yang segar telah melegakan rongga hidungku yang selalu tercemar dek kerana asap-asap motor dan kereta yang tidak pernah berkurang di tempat asal usul ku. Tenang rasanya melihat pemandangan sepanjang perjalanan melihat bukit yang menghijau, pokok-pokok yang meninggi, udara yang menyegarkan sehingga rasa sayang untuk meninggalkan kenikmatan tersebut kelak, ditambah pula kesesakan jalan raya yang tidak seberapa sehingga tidak tahu bagaimana ingin nyatakan rasa itu sendiri apabila kenikmatan itu telah dapat dirasai setelah sekian lama.
             Setelah perjalanan mengambil masa dalam kira-kira 2 jam, kami pun akhirnya sampai ke destinasi akhir kami untuk hari ini iaitu Rumah Putera Harapan (RPH). Dengan rasa syukur, kedatangan kami telah disambut dengan sangat baik oleh orang-orang disini. Kanak-kanak di sini yang melihat kedatangan kami pada mulanya memandang penuh kebingungan. Ini mungkin kerana melihat orang yang tidak dikenali datang ke tempat mereka, namun setelah itu kami mula mengajak mereka untuk berbual dengan kami.
             Penerimaan mereka terhadap kami sangat baik sehinggakan pada malam pertama kami disini telah dijamu dengan makan malam yang disediakan oleh orang disini. Walaupun kami datang dalam bentuk kelompok yang boleh dikatakan ramai mereka telah mengalukan kehadiran kami dengan tangan yang terbuka malah siap pelawa kami untuk menggunakan barang dapur mereka jika perlu. Ini menunjukan masyarakat sekitar sini sentiasa menerima orang asing seperti kami malah melayannya dengan sangat baik walaupun baru kali pertama berjumpa.


Nazifah Binti Nazri
8 Februari 2019
10:37 p.m
Rumah Putera Harapan (RPH)

Comments

Popular posts from this blog

Puisi: Ilmu Penyuluh Kehidupan..

TRAVELOG : REZEKI

PERMULAAN LANGKAH