TRAVELOG : BERJUANG DI PEDALAMAN.
Selesai sarapan pagi, cepat-cepat bersiap untuk menghadiri mesyuarat bersama wakil ABIM Ranau dengan penduduk Kampung Sedul, Ranau. Perjalanan ke kampung ini mengambil masa lebih kurang 30 minit.
Laluan masuk ke Kg.Sedul tidak seindah laluan yang dibayangkan kerana harus melalui jalan yang kecil. Agak memeningkan kepala kerana jalannya yang ditaburi batu. Namun demi perjuangan yang telah diikrarkan aku tetap tabahkan hati dan sentiasa positif. Tasbih menjadi peneman sepanjang jalan diiringi bibir yang melafazkan zikir. Di tengah perjalanan kami menyeberangi sungai, terasa sejuk menghirup udara yang bersih daripada aktiviti bandar. Sudah lama rasanya tidak merasai nyamannya alam semula jadi.
Kehadiran kami disambut dengan begitu meriah, penduduk Kg.Sedul begitu peramah. Terlihat di wajah mereka, miliki semangat yang tinggi untuk menimba ilmu. Setelah meneliti perbincangan bersama mereka, baru ku sedar bahawa ramai lagi insan yang amat memerlukan bantuan dari luar. Mereka bukan sahaja memerlukan bantuan dari segi keperluan harian bahkan juga ilmu. Ilmu yang seharusnya mereka miliki dan amalkan dalam kehidupan seharian buat bekalan akhirat kelak.
Hadirnya kami ibarat sebuah kebahagiaan buat mereka. Adanya insan yang ingin menyampaikan ilmu walaupun untuk mereka yang nun di pedalaman. Terkadang aku berfiikir, merasakan bahawa ini seperti sebuah mimpi, keajaiban yang tidak pernah ku jangka ianya akan berlaku. Namun, siapalah aku untuk menidakkan kuasa Allah ? Sedangkan aku hanyalah seorang hamba yang juga masih kehausan ilmu.
Inilah yang dinamakan perjuangan seorang sukarelawan dalam menabur bakti buat insan yang memerlukan. Di mana pun itu, aku harus tetap bersiap sedia untuk menghadapi apa jua cabaran bersama rakan seperjuangan demi mereka yang membutuhkan. Ku selitkan kata motivasi buat pembakar semangat , "jangan takut gagal kerana orang yang tidak pernah gagal hanyalah orang yang tidak pernah melangkah". - Buya Hamka.
Disediakan Oleh : Mimy Minarti binti Pangeran
10/12/2019 (11:15pm)
Pusat Bimbingan Islam (IOA)
Ranau, Sabah.
Comments
Post a Comment