Travelog: Persiapkan dirimu
| Kumpulan kami bagi misi Turda Sabah |
Kami mula berkumpul pada jam 8:30 di Perpustakaan Unisel dan dipimpin oleh fasilitator iaitu Nurul Hidayah. Kami membuka majlis ilmu kami dengan ummul kitab Al-Fatihah dan seterusnya penerangan daripada salah seorang fasilitator, Azliyana Azmi yang lebih selesa dengan gelaran Kak Yana tentang foto dan videografi. Pemilihan foto yang bersesuaian perlu lah dititikberatkan bagi dimuatkan di dalam "photobook". Video yang kreatif serta tersusun amat penting untuk menarik minat penonton.
Akak Nurul Hidayah, kemudian memberi taklimat tentang bagaimana untuk merangka catatan harian, berita dan puisi. Barulah saya tahu, berita dan catatan harian mempunyai formatnya yang tersendiri. Saya menulis dan membacakan puisi yang bertajuk Ilmu di hadapan semua peserta IMISU.
Kami menunaikan solat dhuha di surau perpustakaan Unisel dan kemudian berkumpul di dataran perpustakaan untuk bersama-sama bersarapan. Sarapan telah disediakan oleh fasilitator kami. Kemudian kami diminta untuk berkumpul semula di bilik LR2 untuk mengemaskini setiap media sosial yang telah kami sediakan untuk setiap misi. Pada jam 1:30 tengah hari, kami berhenti seketika untuk makan tengah hari dan solat Zuhor.
Selepas itu, Induksi Misi Sukarelawan ini diteruskan oleh Encik Izwan Suhadak dengan permainan yang dipanggil "Boom". Permainan tersebut melibatkan kecekapan seseorang bertindak. Seterusnya, kami diajar cara untuk berpidato dengan baik dalam suasana yang santai iaitu dengan berpidato menggunakan perkataan yang diberi oleh rakan-rakan lain. Encik Izwan menerangkan beberapa perkara yang dilarang ketika misi dijalankan antaranya seperti datang lewat, tidak bekerjasama, dan tidak memberi perhatian. Selain itu, kami didedahkan tentang persiapan untuk ke misi seperti membuat kertas kerja. Encik Izwan memberi butiran tentang format menyediakan kertas kerja.
Hari pun sudah malam, kami mengakhiri hari kami dengan berkumpul di dataran perpustakaan dan membuat bulatan untuk merumuskan tentang aktiviti hari ini dan kesan yang memberi impak kepada diri kami serta pesan kami kepada setiap ahli misi. Saya merasakan lebih tenang untul menyampaikan rumusan saya kerana kami berada dalam keadaan yang gelap dan sunyi, hanyalah ditemani sinaram bulan pada malam itu. Kami bersurai dan melangkah pulang ke kediaman masing-masing pada jam 10:30 malam.
Siti Nazihah binti Zulkifli
Comments
Post a Comment